Johor pelawa 
UMT buka kampus
January 28, 2015 | National NewsSource: Utusan Malaysia
27 January 2015
NUSAJAYA: Kerajaan negeri mempelawa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang mempunyai kepakaran dalam bidang sains maritim untuk membuka kampus cawangannya di sini sebagai salah satu usaha mewujudkan persekitaran berteraskan alam sekitar dan melestarikan khazanah laut.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Johor adalah antara negeri yang mempunyai kawasan pesisiran pantai yang panjang dan dikelilingi lautan, sekali gus amat sesuai untuk menjadi lokasi bagi unversiti berkenaan menjalankan pelbagai kajian.
"Kerajaan negeri menyokong sekiranya UMT ingin membuka kampus cawangannya di sini. Apatah lagi melihat geografi Johor yang mempunyai pesisiran pantai yang panjang dan tentu sekali mempunyai pelbagai khazanah laut.
"Pihak UMT boleh menyuarakan perancangan ini kepada Kementerian Pendidikan dan kerajaan negeri sentiasa membuka pintu untuk universiti itu mengembangkan sayapnya di sini," katanya selepas merasmikan Program Kesedaran Marin Bersama Komuniti Johor, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Md. Jais Sarday; Naib Canselor UMT, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Johor (J-Biotech), Wan Amir Jeffery Wan Abdul Majid.
For more information, click .
View Other categories: NATIONAL | CAMPUS | ACHIEVEMENT | EDITOR'S DESK